*** BERSATU MEMBELA KEADILAN ***

Rabu, Mac 06, 2019

KEMUDAHAN KESATRIA


KEMUDAHAN-KEMUDAHAN
TABUNG KEBAJIKAN 
WANG CARUMAN KHAS

Agihan RM 4.00 dari Yuran Keahlian adalah untuk membayar Permohonan Ahli yang memohon Bantuan dari Tabung Wang Caruman Khas Kebajikan seperti :-

BANTUAN PERSARAAN / BERTUKAR JABATAN / KEMATIAN
Ø  Ahli yang bersara wajib atau bersara pilihan dibayar RM 500.00.
Ø   Ahli yang telah meninggal dunia akan dibayar RM 500.00 kepada warisnya.
Ø   Ahli yang bertukar Jabatan/Di Swastakan  akan dibayar RM 250.00

BANTUAN IKHSAN
Ø  Bantuan ini diberi kepada ahli-ahli yang ditimpa bencana alam seperti banjir, kebakaran dan mala petaka dan lain yang difikirkan sesuai.

BANTUAN PERUBATAN
Ø Ahli-ahli yang sakit dan dirawat di dalam wad di hospital selama
4hari atau lebih akan diberi bantuan perubatan sebanyak
RM 30.00

BANTUAN PELAJARAN
Ø Bantuan pelajaran ini diberi kepada anak-anak ahli yang bersekolah di Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6.
Ø Pemilihan anak ahli yang akan menerima bantuan pelajaran  dibuat oleh KESATRIA peringkat cawangan

BANTUAN DERMASISWA
Ø Ahli-ahli yang mengambil Peperiksaan Ulangan seperti PMR/SPM/STP akan diberi bantuan dermasiswa



SEJARAH PENUBUHAN KESATRIA


SECEBIS SEJARAH KESATRIA

Bermula pada tahun 1946, semasa era penjajahan British di Malaysia (pada ketika itu di kenali sebagai Malaya), Kesatuan Sekerja telah mula ditubuhkan oleh golongan yang berjawatan rendah dan Buruh Kasar. Berasaskan kepada perjuangan Hak dan kebajikan pekerja maka Kesatuan Sekerja telah pun diaktifkan dengan nama MALAY REGIMENT CIVILLIAN UNION atau nama singkatannya MRCU. Kesatuan ini mula berpusat di Port Dickson, Negeri Sembilan. Dengan berasaskan penubuhan MRCU maka mengikut keperluan dan kehendak semasa, KESATRIA telah ditubuhkan.

        KESATRIA telah didaftarkan dibawah Pendaftar Kesatuan Sekerja pada 12 hb April 1960 dengan bilangan Pendaftarannya No.15. Ketika itu dikenali sebagai FEDERATION ARMED FORCES CIVILLIAN STAFF UNION (FAFCSU). (KESATUAN PEKERJA AWAM ANGKATAN TENTERA PERSEKUTUAN) (KPAATP).

          Pada 29 hb Julai 1972,Mesyuarat Perwakilan Dua Tahunan Kali Ke 4, telah memutuskan supaya perkataan PERSEKUTUAN itu ditukar kepada MALAYSIA, selaras dengan perubahan nama TANAH MELAYU kepada MALAYSIA.
          Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Ke 64, telah mencadangkan nama Kesatuan Pekerja Awam Angkatan Tentera Malaysia itu disingkatkan  dengan nama KESATRIA, yang mana sebelum ini dikenali sebagai KPPATM (KESATUAN PEKERJA AWAM ANGKATAN TENTERA MALAYSIA).

Nama ringkas KESATRIA ini adalah diberi oleh Yang Mulia Puan Azah Aziz isteri kepada Profesor DiRaja Ungku Aziz, ketika itu beliau sebagai Presiden Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA).

        Perhubungan KESATRIA dengan PERTAMA ketika itu adalah amat erat dan telah menganjurkan bersama pertunjukan Tayangan Filem Perdana “MEREKA KEMBALI” di Panggung Odeon, Kuala Lumpur secara besar-besaran pada 21 hb Mac 1973.
        Pada 8 hb Februari 1974, didalam Mesyuarat EXCO KESATRIA Ke 26 telah mengesahkan nama KESATRIA sebagai ringkas daripada perkataan Kesatuan Pekerja Awam Angkatan Tentera Malaysia dan telah diluluskan oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja pada 30 hb Jun 1974.

Sebelum FEDERATION ARMED FORCE CIVILLIAN STAFF UNION (FAFCSU), (KESATUAN PEKERJA AWAM ANGKATAN TENTERA MALAYSIA)(KPPATM) ditubuhkan ada dua buah kesatuan yang telah wujud dibawah tadbiran Kementerian Pertahanan. Kesatuan tersebut ialah :-

        i.      FEDERATION FORCE CIVILLIAN STAFF               UNION yang berpejabat di Port Dickson dan               mempunyai cawangan di Taiping.
        ii.     DEFENCE MINISTRY CIVILLIAN STAFF                 UNION yang berpejabat di Jalan Padang            Tembak, Kuala Lumpur.


TUJUAN KESATRIA DITUBUHKAN

Tujuan KESATRIA ditubuhkan ialah :-

        i.      Mengadakan sebuah pertubuhan yang lengkap bagi semua pekerja-pekerja Awam yang bekerja dengan Angkatan Tentera Malaysia dan hendak memajukan kepentingan ahli-ahlinya dalam hal ehwal perusahaan, sosial dan pengetahuan.

        ii.     Memperoleh dan mengekalkan bagi ahli-ahlinya sukatan gaji yang adil dan saksama, keselamatan pekerjaan dan syarat-syarat perkhidmatan yang berpatutan dan juga memberi nasihat dan bantuan tentang hal ehwal yang tersebut.

        iii.     Mengatur perhubungan perusahaan diantara pihak majikan dengan pekerja, diantara ahli dengan ahli dan diantara ahli dengan lain-lain pekerja dan berikhtiar untuk menyelesaikan sebarang perselisihan diantara mereka itu dengan cara persahabatan dan bermuafakat.  

iv.    Menolong jayakan, dengan wang atau lain-lainnya, kerja atau hasrat sesuatu pertubuhan atau badan yang halal yang mempunyai tujuan hendak memajukan kepentingan pekerja-pekerja, kesatuan sekerja dan ahli-ahli kesatuan sekerja.

      v.     Memajukan kebajikan ahli-ahlinya dari segi kebenaran, sosial dan pelajaran dengan jalan yang halal.

         vi.    Memberi bantuan seperti bayaran dimasa teraniaya dan dimasa pertikaian kerja.

         vii.    Menyelenggarakan dan mengadakan kumpulan wang kebajikan.

        viii.   Membuat sebarang pekerjaan yang halal oleh sesebuah kesatuan sekerja disisi undang-undang.

APAKAH PERANAN KESATRIA

v Sebuah Kesatuan bagi semua penjawat awam di 
Kementerian Pertahanan kecuali Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

v Berperanan untuk memajukan kepentingan ahli-ahli dalam hal ehwal perkhidmatan.

v Memperjuangkan dan mengekalkan perkhidmatan serta emolumen yang adil dan saksama. Keselamatan pekerjaan serta masa dan syarat–syarat perkhidmatan yang berpatutan dan memberikan nasihat serta bantuan berkaitan dengan hal ehwal bersangkutan yang melibatkan ahli-ahli.

v  Mengaturkan perhubungan perusahaan diantara pihak  
majikan dengan pekerja serta ikhtiar untuk mencari jalan penyelesaian didalam sebarang perselisihan diantara mereka dengan cara yang bermuafakat.

v Menjadi tempat untuk ahli-ahli meluahkan masalah sama ada dengan majikan, masalah sesama rakan sekerja atau masalah yang berkaitan dengan perkhidmatan.

v KESATRIA adalah sebuah Kesatuan yang mengutamakan Hal Ehwal Kebajikan ahli-ahlinya dari aspek Perkhidmatan dan Hal Ehwal yang bersangkutan dengan pekerjaan . KESATRIA bukan Kesatuan yang melibatkan aktiviti Sosial, tidak seperti Persatuan atau Kelab-kelab lain yang ada didalam Kementerian Pertahanan.

v Segala masalah yang melibatkan ahli-ahli KESATRIA di cawangan akan dibawa ke dalam Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ) di Peringkat Briged. Sekiranya masalah tersebut masih belum menemui jalan penyelesaian, hal tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ) di Peringkat Kementerian Pertahanan dan masalah itu akan dibincangkan bersama wakil pekerja, wakil majikan dan di Pengerusikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (KSU).  

LIKU-LIKU PERJALANAN KESATRIA

Di antara zaman-zaman KESATRIA itu, Zaman Mohd Darus bin Ujang dengan K.George adalah zaman membawa kejayaan dan kemusnahan dan Zaman Mohd Sultan bin Ahmad dengan K.George adalah zaman kegelapan bagi KESATRIA.

Pada tahun 1967, KESATRIA telah mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan melalui Kementerian Pertahanan pada ketika itu tidak dapat memenuhi tuntutan KESATRIA dan KESATRIA telah menghantar notis untuk mengambil tindakan perusahaan. Dengan kegagalan untuk mengambil tindakan perusahaan tersebut, Kementerian Pertahanan telah mengambil tindak balas dengan membubarkan Majlis Bersama Jabatan dan menarik balik kebenaran memotong yuran melalui lembaran gaji.

Akibatnya Bangunan yang dibeli pada tahun 1966 di Khoon Lin Court, Jalan Pasar Kuala lumpur telah dirampas oleh tuan punya bangunan melalui Perintah Mahkamah Tinggi kerana bayaran ansuran tidak dibayar mengikut perjanjian jualbeli.

Didalam keadaan inilah dua tiga orang anak-anak nakal KESATRIA di Kuala Lumpur dan Johor Bharu, yang telah mendapat didikan asas Kesatuan Sekerja di Seminar Kesatuan Sekerja Anjuran KESATRIA pada 7 hb hingga 15 Februari 1966, di Pusat Methodist, Jalan Pantai, Port Dickson telah memainkan peranannya mendebatkan kedudukan pegawai-pegawai tinggi KESATRIA ketika itu di dada-dada akhbar. Ada di antara tulisan-tulisan tersebut dengan beraninya mencabar kedudukan Setiausaha Agung pada masa itu.

Akhirnya Setiausaha Agung KESATRIA pada masa itu telah bertukar ke Tentera Udara DiRaja Malaysia, Kuantan dan akhirnya telah bersara daripada Perkhidmatan Kerajaan. Sdr Presiden dan sdr Bendahari

Agung ketika itu telah bertukar ke Jabatan lain dan mereka telah melepaskan jawatan masing-masing didalam KESATRIA.

        Pada tahun 1970 didalam beberapa perbincangan telah bersetuju menjemput sdr Mohd Darus bin Ujang kembali memimpin KESATRIA, sdr Mohamad Tahar bin Buyong sebagai Setiausaha Agung, sdr Abdul Majid bin Pakeh sebagai Naib Yang Dipertua, sdr Mohamad bin Mat Jid sebagai Penolong Setiausaha Agung dan sdr O.A. Haja Mohideen sebagai Bendahari Agung.

Di zaman sdr Mohd Darus dengan sdr Tahar ini, usaha-usaha untuk merapatkan kembali perhubungan antara KESATRIA dengan KEMENTAH terus dibuat, tetapi masih belum lagi menampakan hasilnya.

        Disebabkan usaha-usaha yang dibuat tidak menampakkan hasilnya, tambahan pula sdr Mohd Darus ketika itu sibuk dengan tugas-tugasnya di Kementerian Pertahanan, maka sdr Mohd Darus tidak berhasrat lagi untuk bertanding bagi memimpin KESATRIA.

        Di dalam suasana dan keadaan inilah timbul tiga putera melayu yang berjiwa kebangsaan telah bermuafakat untuk menyambung perjuangan KESATRIA yang ketika itu seolah-olah dilindungi oleh Kabus Di waktu Pagi.

Tiga orang Putera tersebut terdiri daripada Mohamad bin Mat Jid, Abdul Majid bin Pakeh dan Mohd Tahar bin Buyong telah berikrar untuk mengembalikan maruah KESATRIA agar ia disegani oleh kawan dan lawan.

        Persidangan Perwakilan Dua Tahun Sekali Ke 4 yang diadakan di Dewan Orangramai Gombak Setia, pada 29 hb dan 30 hb Julai 1972 telah memilih Sdr Mohamad bin Mat Jid sebagai Presiden, Sdr Abdul Majid bin Pakeh sebagai Naib Presiden, Sdr Mohd Tahar bin Buyong sebagai Setiausaha Agung, Sdr Ali bin Omar sebagai Penolong Setiausaha Agung dan Sdr Othman bin Abdullah sebagai Bendahari Agung.

Bertolak daripada sinilah bermulanya Zaman Mohamad/Tahar
Langkah pertama diambil oleh pentadbiran Mohamad/Tahar ialah untuk mendapatkan potongan yuran melalui lembaran gaji. Satu perjumpaan dengan Yang Berbahagia Tan Sri Abu Bakar Samad bin Mohd Noor, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan ketika itu telah diadakan pada 11 hb Ogos 1972. Didalam perjumpaan tersebut Yang Berbahagia Tan Sri telah bermurah hati membenarkan semula potongan yuran melalui lembaran gaji dibuat bermula pada 1 hb Oktober 1972.

        Dalam pada itu usaha-usaha untuk memperkenalkan KESATRIA kepada masyarakat umum juga telah dibuat, yang mana satu pertunjukan Tayangan Filem Perdana “Mereka Kembali” dengan kerjasama Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) telah diadakan di Pawagam Odeon, Kuala Lumpur pada 21 hb Mac 1973.

Satu Seminar untuk ahli-ahli wanita KESATRIA telah diadakan di Dewan Belia Kampung Pandan pada 8 hb dan 9 hb Februari 1974 yang mana lebih daripada 100 orang ahli-ahli wanita KESATRIA telah menghadirinya. Seminar tersebut berakhir dengan satu Majlis Makan Malam di Dewan Bahasa dan Pustaka dan lebih daripada 1000 orang ahli-ahli dan pegawai-pegawai awam dan tentera telah hadir ke Majlis tersebut.

        Tidak dengan itu sahaja, KESATRIA sekali lagi menganjurkan Tayangan Filem Perdananya bertajuk “LAKI-LAKI PILIHAN” di Pawagam Sky, Kuala Lumpur.

        Semenjak daripada itulah nama KESATRIA senantiasa bermain dibibir pekerja-pekerja awam Kementerian Pertahanan, anggota Tentera dan Masyarakat Pekerja seluruhnya. Sehingga ini pemimpin-pemimpin KESATRIA telah mendapat tempat didalam Gabungan Kesatuan Sekerja Dalam Negeri dan nama KESATRIA kini tidak sahaja terkenal di kalangan Kesatuan Sekerja dalam Negeri bahkan juga dikalangan Gerakan Kesatuan Sekerja Luar Negeri.

        Sebab itulah, pemimpin-pemimpin KESATRIA selalu menghadiri Conference dan Seminar-seminar di dalam negeri mahupun Luar Negeri.

        Kejayaan KESATRIA selain daripada menuntut gaji dan syarat-syarat perkhidmatan yang lebih baik,ia juga melindungi ahli-ahlinya daripada teraniaya. Selain daripada itu, KESATRIA juga telah menubuhkan Tabung Caruman Khasnya. Sehingga ini tabung tersebut telah mengeluarkan bantuan tersebut untuk ahli-ahlinya yang berhak mendapat bantuan tersebut. 
PENGHARAPAN

Esok dan hari-hari seterusnya, KESATRIA dibawah pimpinan mereka yang telah diberi kepercayaan oleh ahli-ahlinya, sewajarnya bersatu tenaga bagi mengatasi masalah yang ada.
        Perkara-perkara yang sedia wujud yang diwujudkan untuk memberi faedah kepada ahli-ahlinya haruslah dikekalkan dan perkara-perkara yang baru mestilah dicari dan di praktikkan
        Yang pentingnya, jangan terpedaya oleh musuh-musuh KESATRIA yang senantiasa berusaha untuk melemahkan perjuangan kita.

        Ahli-ahli KESATRIA mestilah menanamkan semangat perjuangan “Berani kerana Benar Takut kerana Salah”. Kita tidak keseorangan didalam perjuangan KESATRIA ini.
        Selagi kita bersatu, selama itulah kita menempa kejayaan yang kita harap-harapkan.





Jumaat, Ogos 04, 2017

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI KESATRIA DAERAH PANGKALAN UDARA SUBANG TAHUN 2017

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini telah diadakan pada 20 Julai 17 (Khamis) untuk ahli-ahli. Majlis tersebut juga diselitkan dengan program meraikan ahli-ahli yang telah bersara, akan bersara, bertukar keluar, kelahiran anak, berkahwin dan tidak di lupakan untuk yang kematian keluarga serta masuk hospital. Majlis juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran Komander Pangkalan.


 Ahli bersara
Ahli bertukar keluar
  Ahli yang akan bersara
 Kelahiran anak
 Berkahwin
 Berkahwin dan masuk hospital
 Kematian ahli keluarga


Jumaat, Mei 26, 2017

SUKAN KESATRIA DAERAH PANGKALAN UDARA KUALA LUMPUR




Kesatria Daerah Pangkalan Udara Kuala Lumpur telah menganjurkan pertandingan Sepak Takraw dan Bola Jaring. Pertandingan yang berlangsung pada 10 Mac 2017 telah disertai oleh ahli-ahli Kesatria yang bertugas di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Pegawai Tadbir Awam Markas Pemerintahan Bantuan Udara Cik Shafizatul Azni bt Abd. Halim telah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang.

Tahniah diucapkan kepada pemenang-pemenang dan syabas kepada Kesatria Daerah Pangkalan Udara Kuala Lumpur di atas penganjuran ini.








SAMBUTAN HARI PEKERJA 2017



Sambutan Hari Pekerja Peringkat Cuepacs telah diadakan pada 1 Mei 2017 bertempat di Auditorium JAKIM Putrajaya.

Manakala Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan telah diadakan pada hari yang sama bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Seramai 13 orang ahli-ahli Kesatria Cawangan Selangor/Wilayah Persekutuan turut serta menghadiri sambutan di kedua-dua lokasi tersebut.